Tuesday, August 31, 2010

Salam 'malaikat maut' di musim perayaan

Artikel: Majalah Al-Islam, September 2010

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), kadar kemalangan jalan raya di Malaysia terus meningkat dari setahun ke setahun terutama menjelang musim-musim perayaan. Setiap hari, media massa menyiarkan dan memaparkan kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan dan kematian kepada individu tertentu. Namun, paparan oleh pihak media seolah-olah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat Malaysia, malahan mereka menerimanya sebagai takdir daripada Allah. Walaupun pihak kerajaan telah berkali-kali memberikan amaran dan nasihat supaya setiap pengguna jalan raya, sama ada yang memandu ataupun yang melintas jalan, sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Perkara yang paling menyedihkan ialah, masyarakat bukan sahaja tidak mengambil berat tentang penggunaan jalan raya yang lebih selamat, malah mereka tidak prihatin tentang keselamatan diri mereka sendiri dan juga orang lain. Masing-masing memandu dan menunggang kenderaan mengikut cara yang tersendiri dan membelakangkan undang-undang sedia ada. Mereka bergerak bagai jalan raya adalah milik mutlak mereka.

Menurut laporan Nur Hasyimah Othaman (2010), statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian dan kecederaan berlaku hampir setiap hari. Statistik yang dikeluarkan pada tahun 2006 menunjukkan sejumlah 5,719 kemalangan dan meningkat pada tahun 2009 dengan jumlah 6218 kemalangan. Lebih menyedihkan lagi, apabila Bangsa Melayu yang beragama Islam adalah bangsa yang paling ramai maut disebabkan kemalangan jalan raya yang jumlah 6703 orang dari tahun 2006 hingga 2009. Jika dilihat daripada statistik tersebut, secara purata kadar kemalangan maut yang berlaku di Malaysia adalah di antara dua hingga tiga orang dalam sehari. Statistik berdasarkan peringkat umur pula, mangsa yang berumur 18 hingga 30 tahun adalah penyumbang terbesar jumlah kematian diikuti peringkat umur 31 hingga 50 tahun. Ia menunjukkan bahawa peringkat umur yang masih muda dan menjadi penyumbang kepada pendapatan keluarga, masyarakat dan negara merupakan golongan yang banyak terbunuh di atas jalan raya.

Menurut Nur Hasyimah Othaman (2010) lagi, kemalangan jalan raya berlaku disebabkan oleh faktor manusia itu sendiri, persekitaran dan kenderaan. Faktor manusia itu sendiri menjadi faktor yang utama disebabkan oleh sikap manusia yang pelbagai ragam semasa memandu di jalan raya. Sikap negatif seperti tidak berdisiplin, tidak bertimbang rasa, angkuh, mahu cepat sampai, tidak sabar, agresif dan gagal menghormati undang-undang adalah antara sikap yang membawa kepada kemalangan jalan raya. Menurut Mohammad Ismail( 2010), ramai orang yang sanggup menggadaikan keperibadiannya apabila berada di jalan raya dan mereka sanggup ketepikan sifat sabar yang ada dalam diri masing-masing. Apabila sifat sabar telah hilang, maka timbullah perkara-perkara yang tidak baik.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei (2009), bagi menghindarkan sebarang kemalangan jalan raya, pihak berkuasa telah giat berusaha untuk menangani masalah tersebut seperti penggubalan peraturan-peraturan lalu lintas jalan raya, membuat sekatan jalan raya, meningkatkan tahap keselamatan prasarana jalan raya dan sebagainya. Selain daripada itu, beberapa syarikat-syarikat automotif dan teknologi juga berusaha keras bagi mencipta alat-alat keselamatan yang canggih contohnya, pemasangan sistem amaran, sistem kawalan kelajuan dan sebagainya dengan tujuan untuk mempertingkatkan keselamatan pemandu kenderaan. Namun, kadar kemalangan masih juga meningkat setiap tahun. Perkara yang paling penting ialah sikap pemandu itu hendaklah berdisiplin, bertimbang rasa, hormat menghormati, sabar dan sebagainya.

Setiap individu itu perlu menanam sikap bersabar dalam apa jua keadaan yang mereka tempuh. Dengan adanya sikap sabar tersebut maka pemanduan mereka berjalan dengan lancar. Menurut Azrina Sobian(2010), diakui bahawa semasa memandu sifat sabar itu diketepikan dan tahap kesabaran seseorang benar-benar teruji. Sifat sabar adalah salah satu daripada 10 sifat mahmudah yang sepatutnya ada dalam setiap insan yang bergelar Muslim. Seorang Muslim dituntut untuk bersabar dalam kebanyakkan perkara. Mereka yang sabar ini pula sangat dicintai oleh Allah.

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan (ketika menghadapi susah-payah dalam melaksanakan perintah Allah) dengan bersabar dan (menunaikan) solat. Sesungguhnya Allah bersama (membantu) orang-orang yang sabar.”(surah Al-Baqarah 2:153)

Sebagai pemandu yang beretika seharusnya sentiasa bersabar dengan memberi laluan dan ruang kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya jika kita menolong orang maka Allah akan menolong kita, sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang membawa maksud :

“Dan sesiapa yang menolong memudahkan orang yang susah, Allah s.w.t akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Allah s.a.w menolong hamba-Nya selama mana hamba itu mahu menolong saudaranya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Seharusnya kesabaran yang telah ditanam dalam jiwa tetap kekal sifatnya dalam apa jua keadaan. Pemanduan yang hanya mengikut hawa nafsu dengan membuang sifat sabar adalah satu tindakan yang kurang bijak.Bagi yang beragama Islam seeloknya membaca doa naik kenderaan dan berwuduk sebelum memulakan perjalanan. Dengan cara ini akan menambahkan keyakinan pemanduan.Perhubungan dengan Allah perlu dijaga bagi memohon pelindungan dan keredhaan dariNya.Allah perintahkan kepada umatNya supaya sentiasa berdoa dan berzikir dalam semua keadaan dan tempat sebagaimana firman Allah s.w.t:

"Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring".(surah An-Nisa’:103)

Agama Islam juga telah mengajar supaya berdoa sebelum keluar rumah yang maksudnya:

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan daya upaya dan kekuatan Allah, aku berlindung denganmu daripada perbuatan sesat atau disesatkan atau daripada binasa atau dibinasakan atau daripada zalim atau dizalimi daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan".

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei (2009), ketika sedang memandu adalah lebih baik jika kita berzikir dengan zikir-zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar dan sebagainya agar jiwa sentiasa tenang dan terhindar dari sifat-sifat mazmumah yang akan memberi kesan negatif bukan sahaja dalam diri malah orang di sekeliling.

Selain itu, terdapat banyak kempen mengatasi masalah kemalangan jalan raya diadakan oleh pihak berkuasa tetapi nampaknya kempen tersebut masih belum meninggalkan kesan yang memuaskan. Oleh itu, amat wajar jika kempen itu diperhebatkan, dilaksanakan secara lebih agresif dan dibuat secara berterusan. Kesedaran orang ramai harus dipupuk agar mereka sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa sewaktu di jalan raya. Menurut Jasri Jamal (2010), sebagai orang Islam, ingat mengingati sesama manusia amat penting agar perhubungan sentiasa mendapat keberkatan dari Allah. Setiap individu Muslim itu adalah bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, dalam konteks yang lebih luas lagi, sebagai seorang Muslim yang sejati, hubungan sesama manusia tidaklah terbatas. Inilah di antara keindahan Islam yang ternyata menolak permusuhan dan perbalahan sesama manusia, agar kehidupan di muka bumi ini akan sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan bahagia.

Menurut Nur Fazzillah Mohamed (2010), bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku, pihak berkuasa juga perlu meletakkan papan tanda di tempat-tempat yang strategik untuk memberikan amaran kepada pemandu tentang bahaya jalan raya di hadapan mereka, tanda-tanda isyarat perlu di perkemaskan dan kemudahan tertentu hendaklah dibina seperti jejantas, laluan pejalan kaki dan sebagainya. Dengan ini, membolehkan pemandu agar mengurangkan kelajuan kenderaan yang mereka pandu. Keadaan jalan raya yang berbahaya juga perlu diperbaiki agar kemalangan jalan raya dapat diatasi. Hal sedemikian, kalau dilihat ia berkait rapat dengan amanah dan tanggungjawab pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka. Mereka seharusnya telus dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka demi kepentingan manusia sejagat.

Secara kesimpulannya, setiap manusia itu harus mendidik jiwa dengan sifat-sifat mahmudah. Jika etika ketika memandu sentiasa dipatuhi maka kadar kemalangan jalan raya akan berkurangan dari semasa ke semasa. Menurut Jasri Jamal (2010), kita perlu pelihara hubungan kita dengan Allah. Memohon perlindungan dan keberkatan daripadaNya dalam setiap perkara yang kita lakukan. Hubungan sesama manusia juga jangan dilupakan agar ukhwah tetap terpelihara antara satu sama lain. Sebagai seorang muslim, kutiplah pahala di bulan Ramadan ini sebanyak-banyaknya ketika berada di jalan raya. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Mengelakkan bahaya daripada jalan raya adalah satu kebaikan.”

Oleh itu, hilangkanlah perasaan riak, takbur, ingin menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika berada di jalan raya. Marilah kita membudayakan budaya Islam ketika memandu bagi mengelakkan menyakiti hati sesama manusia sekali gus dapat menghindari kemalangan maut yang saban tahun semakin bertambah.

No comments:

Post a Comment