Sunday, October 3, 2010

CIRI-CIRI TASAWUR ISLAM: AL-SYUMULIYYAH

Tasawur Islam merupakan pandangan Islam mengenai realiti yang wujud dalam seluruh fasa kehidupan yang dilalui oleh setiap manusia. Ia mempunyai ciri-ciri keistimewaannya yang tertentu. Salah satu daripadanya ialah al-Syumuliyyah. Al-Syumuliyyah bermaksud lengkap dan sempurna meliputi kehidupan di dunia dan di akhirat (Ramlan Ahmad & Nor Aishah Raduan, 2002:95). Menurut Yusuf al-Qardawi (2000:256), al-Syumuliyyah merupakan satu keistimewaan Islam yang membezakan Islam dengan agama, falsafah dan aliran lain yang diketahui oleh manusia dengan segala makna dan dimensi yang terkandung di dalam perkataan syumul itu sendiri. Ia meliputi semua zaman, seluruh kehidupan dan seluruh unsur manusia.

Di dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. telah menyebut jelas tentang kesyumulan Islam. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Tidak Kami tinggal di dalam kitab itu suatu apa pun.” (al-An’am,6:38)

Selain itu, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“Pada hari ini Aku sempurnakan kepada kamu agamamu dan Aku lengkapkan kepada kamu nikmatKu dan Aku redha Islam itu sebagai agamamu.” (al-Ma’idah, 5:3)

Hasan al-Banna (dipetik dari Haron Din, 1992:51) telah menggambarkan dimensi al-Syumuliyyah ini di dalam bukunya ‘Risalah Islam’. Beliau menyatakan:

“Islam merupakan suatu perutusan (risalah) yang jangkauan panjangnya meliputi setiap zaman. Pengisian lebarnya mencangkup segala bangsa di serata pelosok dunia. Tunjangannya meliputi semua urusan dunia dan akhirat”.

Al-Syumuliyyah terbahagi kepada lima bentuk utama. Pertama, syumul dalam kefahaman dan amalan. Menurut Haron Din (1992:64), ia bermaksud Islam adalah agama Allah s.w.t. yang syumul. Segala sesuatu yang diperlukan manusia telah sedia wujud di dalam Islam. Diberi petunjuk kepada manusia dalam segala hal ehwal kehidupannya, iaitu dari sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besarnya. Diberi panduan dalam perkara makan minum, cara berpakaian sehingga kepada tidur, bangun dan memasuki tandas. Manusia adalah makhluk Allah s.w.t. yang berjasad dan bernyawa. Kedua-duanya diberi panduan dari segi sifat, cara menjaga dan menguatkannya. Hubungan antara manusia dan hubungan manusia dengan Allah s.w.t. juga turut dijelaskan. Kepentingan akhirat diutamakan dan kepentingan dunia tidak diabaikan.

Kedua, syumul dalam syariah. Menurut Haron Din (1992:73) lagi, syariah Islam adalah syariah al-Rabbani (ketuhanan). Ia tegak di atas kekukuhan akidah manusia yang berteraskan akidah yang benar, mengemukakan segala tunjuk ajar dan panduan kehidupan yang syumul untuk mengatur hubungan manusia dengan Allah s.w.t., hubungan manusia dengan dirinya, keluarganya, masyarakatnya, negaranya, dan hubungannya dengan seluruh umat Islam. Al-Quran adalah sumber utama perundangan Islam. Daripadanya, lahirlah segala peraturan dan undang-undang yang mengatur kehidupan Muslim dari yang sekecil-kecilnya kepada yang sebesar-besarnya.

Ketiga, syumul dalam akidah Islam. Menurut Yusuf al-Qardawi (2000:262), ia disifatkan syumul dari aspek pentafsiran terhadap semua persoalan yang besar dalam kehidupan ini. Persoalan ketuhanan, alam, manusia, kenabian dan tempat pengembalian manusia. Ia tidak membahagikan manusia antara dua tuhan seperti tuhan kebaikan dan cahaya, tuhan kejahatan dan kegelapan sepertimana yang terdapat di dalam agama Majusi, atau antara Allah s.w.t. dan syaitan serta membahagikan alam ini kepada milik syaitan dan milik Allah s.w.t. Ia tidak hanya bersandarkan kepada naluri, perasaan atau akal. Sebaliknya Islam bersandar kepada pemikiran dan perasaan atau kepada akal dan hati sebagai dua alat pengenalan dan kesedaran manusia yang sering melengkapi. Ia mesti diambil secara keseluruhannya berserta semua kandungannya tanpa sebarang keingkaran atau keraguan terhadap sejuzuk darinya. Keislaman memerlukan seseorang manusia menyerahkan pengendalian keseluruhannya kepada Allah s.w.t. serta mempercayai semua yang datang dariNya.

Keempat, syumul dalam ibadat. Menurut Yusuf al-Qardawi (2000:264), ibadat di dalam Islam meliputi semua unsur manusia. Menyembah Allah s.w.t. dalam semua perkara. Ia tidak hanya terbatas kepada ibadat dalam bentuk syiar-syiar yang sudah diketahui umum iaitu solat, zakat, puasa dan haji. Bahkan, ia merangkumi semua gerakan dan amalan yang meningkatkan kehidupan di dunia serta membahagiakan manusia. Ibadat yang agung ialah jihad di jalan Allah s.w.t., pertahankan kebenaran, melindungi kehormatan, mencegah fitnah dan meninggikan kalimah Allah s.w.t. Setiap amalan bermanfaat yang dilakukan oleh seseorang Muslim untuk berkhidmat kepada masyarakat atau individu-individu merupakan ibadat.

Kelima, syumul dalam akhlak. Menurut Yusuf al-Qardawi (2000:265) lagi, syumul dalam akhlak merangkumi seluruh aspek dan bidang kehidupan. Akhlak di dalam Islam tidak membiarkan sebarang aspek kehidupan manusia sama ada kerohanian atau fizikal, keagamaan atau keduniaan, akal atau perasaan, individu atau masyarakat melainkan dilakarkan manhaj (pendekatan) yang ideal bagi akhlak yang tinggi. Sesuatu yang dipisahkan oleh manusia di dalam persoalan akhlak dengan nama agama atau falsafah dan dengan nama tradisi dan masyarakat, ia telah disatukan oleh sistem akhlak di dalam Islam secara sepadu dan lengkap bahkan dibuat penambahan yang lebih.

Secara keseluruhannya, Yusuf al-Qardawi (2000:266-267) menyatakan syumul menjadikan Islam itu unik kerana ia mencakupi keseluruhan kehidupan, unsur manusia yang diimbangi dengan kesyumulan dari segi pegangan umat Islam itu sendiri. Tidak boleh seseorang itu mengambil satu aspek dari ajaran serta hukumnya sementara membuang aspek yang lain sama ada secara sengaja atau alpa kerana Islam tidak menerima pembahagian. Amal kebaikan adalah kesempurnaan keimanan, pagar keimanan dan hasil yang pasti bagi keimanan yang benar. Demikian ini sebagaimana dijelaskan oleh al-Qur’an dan yang maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu(yang sempurna imanNya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman,dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenarnya.” (al-Anfal, 8:2-4)

Berdasarkan perbincangan di atas, al-Syumuliyyah ini berkait rapat dengan Pembangunan Berteraskan Islam (PBI). Terdapat dua unsur yang boleh di ketengahkan daripada tujuh prinsip PBI ini. Pertama, ia melibatkan skala waktu pembangunan iaitu alam roh, dunia dan akhirat. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003a: 34-35 & 2003b:6), skala waktu PBI seperti juga aspek-aspek kehidupan mesti merangkumi kesemua alam ini dan ia menjangkau satu jangka waktu yang sangat panjang. Alam-alam ini berkesinambungan dan tidak terpisah antara satu sama lain yang meliputi ketiga-tiga iaitu alam roh, dunia dan akhirat. Alam roh merupakan alam perjanjian, alam dunia merupakan alam pembuktian, dan alam akhirat merupakan alam pembalasan. Ia terbukti bahawa Islam ini bersifat syumul kerana Islam menurut Yusuf al-Qardawi (2000: 260) sentiasa memberi perhatian kepada setiap manusia dalam melalui fasa kehidupan dengan menyediakan bimbingan serta hukum-hakam semenjak seseorang itu belum dilahirkan dan setelah seseorang itu mati.

Kedua, melibatkan dua aspek asasi dalam kejadian manusia iaitu rohani dan jasmani. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:50), ibadah asas dan amalan utama membawa kepada pembangunan kerohanian manakala ibadah umum membawa kepada pembangunan material dan fizikal. Oleh kerana PBI merupakan gabungan kepada pembangunan rohani, material dan fizikal, maka PBI sebenarnya merupakan buah kepada pengalaman secara ketiga-tiga bentuk ibadah di atas keseluruhannya. Ini membuktikan kesyumulan Islam itu sendiri. Menurut Haron Din (1992:79), Islam memberi perhatian yang setimpal antara kepentingan rohani dan kepentingan kebendaan. Mendidik rohani manusia sesuai dengan fitrahnya manakala melayan tuntutan jasmani sesuai dengan keperluannya. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Kesimpulannya, perkaitan antara syumul dengan PBI ini boleh dilihat dalam dua bentuk iaitu skala waktu pembangunan yang melibatkan alam roh, dunia dan akhirat serta rohani dan jasmani. Kesyumulan Islam itu tetap terserlah dalam semua aspek kehidupan manusia dan tetap terpelihara kerana sifatnya yang sempurna.