Tuesday, August 31, 2010

Salam 'malaikat maut' di musim perayaan

Artikel: Majalah Al-Islam, September 2010

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), kadar kemalangan jalan raya di Malaysia terus meningkat dari setahun ke setahun terutama menjelang musim-musim perayaan. Setiap hari, media massa menyiarkan dan memaparkan kemalangan ngeri yang menyebabkan kecederaan dan kematian kepada individu tertentu. Namun, paparan oleh pihak media seolah-olah tidak lagi menjadi perhatian masyarakat Malaysia, malahan mereka menerimanya sebagai takdir daripada Allah. Walaupun pihak kerajaan telah berkali-kali memberikan amaran dan nasihat supaya setiap pengguna jalan raya, sama ada yang memandu ataupun yang melintas jalan, sentiasa berhati-hati dan berwaspada. Perkara yang paling menyedihkan ialah, masyarakat bukan sahaja tidak mengambil berat tentang penggunaan jalan raya yang lebih selamat, malah mereka tidak prihatin tentang keselamatan diri mereka sendiri dan juga orang lain. Masing-masing memandu dan menunggang kenderaan mengikut cara yang tersendiri dan membelakangkan undang-undang sedia ada. Mereka bergerak bagai jalan raya adalah milik mutlak mereka.

Menurut laporan Nur Hasyimah Othaman (2010), statistik menunjukkan bahawa kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian dan kecederaan berlaku hampir setiap hari. Statistik yang dikeluarkan pada tahun 2006 menunjukkan sejumlah 5,719 kemalangan dan meningkat pada tahun 2009 dengan jumlah 6218 kemalangan. Lebih menyedihkan lagi, apabila Bangsa Melayu yang beragama Islam adalah bangsa yang paling ramai maut disebabkan kemalangan jalan raya yang jumlah 6703 orang dari tahun 2006 hingga 2009. Jika dilihat daripada statistik tersebut, secara purata kadar kemalangan maut yang berlaku di Malaysia adalah di antara dua hingga tiga orang dalam sehari. Statistik berdasarkan peringkat umur pula, mangsa yang berumur 18 hingga 30 tahun adalah penyumbang terbesar jumlah kematian diikuti peringkat umur 31 hingga 50 tahun. Ia menunjukkan bahawa peringkat umur yang masih muda dan menjadi penyumbang kepada pendapatan keluarga, masyarakat dan negara merupakan golongan yang banyak terbunuh di atas jalan raya.

Menurut Nur Hasyimah Othaman (2010) lagi, kemalangan jalan raya berlaku disebabkan oleh faktor manusia itu sendiri, persekitaran dan kenderaan. Faktor manusia itu sendiri menjadi faktor yang utama disebabkan oleh sikap manusia yang pelbagai ragam semasa memandu di jalan raya. Sikap negatif seperti tidak berdisiplin, tidak bertimbang rasa, angkuh, mahu cepat sampai, tidak sabar, agresif dan gagal menghormati undang-undang adalah antara sikap yang membawa kepada kemalangan jalan raya. Menurut Mohammad Ismail( 2010), ramai orang yang sanggup menggadaikan keperibadiannya apabila berada di jalan raya dan mereka sanggup ketepikan sifat sabar yang ada dalam diri masing-masing. Apabila sifat sabar telah hilang, maka timbullah perkara-perkara yang tidak baik.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei (2009), bagi menghindarkan sebarang kemalangan jalan raya, pihak berkuasa telah giat berusaha untuk menangani masalah tersebut seperti penggubalan peraturan-peraturan lalu lintas jalan raya, membuat sekatan jalan raya, meningkatkan tahap keselamatan prasarana jalan raya dan sebagainya. Selain daripada itu, beberapa syarikat-syarikat automotif dan teknologi juga berusaha keras bagi mencipta alat-alat keselamatan yang canggih contohnya, pemasangan sistem amaran, sistem kawalan kelajuan dan sebagainya dengan tujuan untuk mempertingkatkan keselamatan pemandu kenderaan. Namun, kadar kemalangan masih juga meningkat setiap tahun. Perkara yang paling penting ialah sikap pemandu itu hendaklah berdisiplin, bertimbang rasa, hormat menghormati, sabar dan sebagainya.

Setiap individu itu perlu menanam sikap bersabar dalam apa jua keadaan yang mereka tempuh. Dengan adanya sikap sabar tersebut maka pemanduan mereka berjalan dengan lancar. Menurut Azrina Sobian(2010), diakui bahawa semasa memandu sifat sabar itu diketepikan dan tahap kesabaran seseorang benar-benar teruji. Sifat sabar adalah salah satu daripada 10 sifat mahmudah yang sepatutnya ada dalam setiap insan yang bergelar Muslim. Seorang Muslim dituntut untuk bersabar dalam kebanyakkan perkara. Mereka yang sabar ini pula sangat dicintai oleh Allah.

Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman. Mintalah pertolongan (ketika menghadapi susah-payah dalam melaksanakan perintah Allah) dengan bersabar dan (menunaikan) solat. Sesungguhnya Allah bersama (membantu) orang-orang yang sabar.”(surah Al-Baqarah 2:153)

Sebagai pemandu yang beretika seharusnya sentiasa bersabar dengan memberi laluan dan ruang kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya jika kita menolong orang maka Allah akan menolong kita, sebagaimana dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang membawa maksud :

“Dan sesiapa yang menolong memudahkan orang yang susah, Allah s.w.t akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Allah s.a.w menolong hamba-Nya selama mana hamba itu mahu menolong saudaranya". (Riwayat Al-Imam Muslim)

Seharusnya kesabaran yang telah ditanam dalam jiwa tetap kekal sifatnya dalam apa jua keadaan. Pemanduan yang hanya mengikut hawa nafsu dengan membuang sifat sabar adalah satu tindakan yang kurang bijak.Bagi yang beragama Islam seeloknya membaca doa naik kenderaan dan berwuduk sebelum memulakan perjalanan. Dengan cara ini akan menambahkan keyakinan pemanduan.Perhubungan dengan Allah perlu dijaga bagi memohon pelindungan dan keredhaan dariNya.Allah perintahkan kepada umatNya supaya sentiasa berdoa dan berzikir dalam semua keadaan dan tempat sebagaimana firman Allah s.w.t:

"Maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring".(surah An-Nisa’:103)

Agama Islam juga telah mengajar supaya berdoa sebelum keluar rumah yang maksudnya:

"Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah dan tidak ada daya upaya dan kekuatan melainkan daya upaya dan kekuatan Allah, aku berlindung denganmu daripada perbuatan sesat atau disesatkan atau daripada binasa atau dibinasakan atau daripada zalim atau dizalimi daripada jahil (bodoh) atau diperbodohkan".

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei (2009), ketika sedang memandu adalah lebih baik jika kita berzikir dengan zikir-zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar dan sebagainya agar jiwa sentiasa tenang dan terhindar dari sifat-sifat mazmumah yang akan memberi kesan negatif bukan sahaja dalam diri malah orang di sekeliling.

Selain itu, terdapat banyak kempen mengatasi masalah kemalangan jalan raya diadakan oleh pihak berkuasa tetapi nampaknya kempen tersebut masih belum meninggalkan kesan yang memuaskan. Oleh itu, amat wajar jika kempen itu diperhebatkan, dilaksanakan secara lebih agresif dan dibuat secara berterusan. Kesedaran orang ramai harus dipupuk agar mereka sentiasa berhati-hati dan bertimbang rasa sewaktu di jalan raya. Menurut Jasri Jamal (2010), sebagai orang Islam, ingat mengingati sesama manusia amat penting agar perhubungan sentiasa mendapat keberkatan dari Allah. Setiap individu Muslim itu adalah bersaudara dan saling memerlukan antara satu sama lain. Namun, dalam konteks yang lebih luas lagi, sebagai seorang Muslim yang sejati, hubungan sesama manusia tidaklah terbatas. Inilah di antara keindahan Islam yang ternyata menolak permusuhan dan perbalahan sesama manusia, agar kehidupan di muka bumi ini akan sentiasa berada dalam keadaan harmoni dan bahagia.

Menurut Nur Fazzillah Mohamed (2010), bagi mengelakkan kemalangan terus berlaku, pihak berkuasa juga perlu meletakkan papan tanda di tempat-tempat yang strategik untuk memberikan amaran kepada pemandu tentang bahaya jalan raya di hadapan mereka, tanda-tanda isyarat perlu di perkemaskan dan kemudahan tertentu hendaklah dibina seperti jejantas, laluan pejalan kaki dan sebagainya. Dengan ini, membolehkan pemandu agar mengurangkan kelajuan kenderaan yang mereka pandu. Keadaan jalan raya yang berbahaya juga perlu diperbaiki agar kemalangan jalan raya dapat diatasi. Hal sedemikian, kalau dilihat ia berkait rapat dengan amanah dan tanggungjawab pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka. Mereka seharusnya telus dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka demi kepentingan manusia sejagat.

Secara kesimpulannya, setiap manusia itu harus mendidik jiwa dengan sifat-sifat mahmudah. Jika etika ketika memandu sentiasa dipatuhi maka kadar kemalangan jalan raya akan berkurangan dari semasa ke semasa. Menurut Jasri Jamal (2010), kita perlu pelihara hubungan kita dengan Allah. Memohon perlindungan dan keberkatan daripadaNya dalam setiap perkara yang kita lakukan. Hubungan sesama manusia juga jangan dilupakan agar ukhwah tetap terpelihara antara satu sama lain. Sebagai seorang muslim, kutiplah pahala di bulan Ramadan ini sebanyak-banyaknya ketika berada di jalan raya. Ia sesuai dengan hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Mengelakkan bahaya daripada jalan raya adalah satu kebaikan.”

Oleh itu, hilangkanlah perasaan riak, takbur, ingin menunjuk-nunjuk, tidak bertimbang rasa, pemarah dan tidak sabar ketika berada di jalan raya. Marilah kita membudayakan budaya Islam ketika memandu bagi mengelakkan menyakiti hati sesama manusia sekali gus dapat menghindari kemalangan maut yang saban tahun semakin bertambah.

Tuesday, August 10, 2010

Analogi daun gugur dan pokok sakit

(klik untuk pautan artikel)

Isu pembuangan bayi hangat diperkatakan di media arus perdana baru-baru ini. Menurut penulis, Ku Seman Ku Hussain, krisis sosial remaja kini agak genting. Isu pembuangan bayi di merata-rata tempat yang sebahagian besarnya akibat pergaulan bebas dan ia seolah-olah menjadi perkara biasa. Sememangya menjadi kebenaran isu yang di ketengahkan oleh penulis ini. Hal ini kerana, dalam dunia globalisasi dan negara menuju ke arah negara maju, masalah ini dilihat semakin menjadi-jadi. Kebanyakan bayi yang ditemui berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Tong sampah, tempat membuang sampah, lubang tandas dan sebagainya menjadi tempat bayi-bayi malang ini di temui. Isu ini dilihat sebagai gambaran mengenai keruntuhan moral dan maruah masyarakat khususnya kepada umat Islam.

Sebagai masyarakat yang hidup dalam era globalisasi sepatutnya kita tidak ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi pada zaman Firaun dan zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan mempertahankan maruah keluarga. Namun, lihatlah perkara yang terjadi pada zaman sekarang seolah-olah kita akan kembali berada pada zaman tersebut. Kanak-kanak dilayan sebegitu rupa tanpa ada sekelumit perasaan belas kasihan dan dibuang merata-rata untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakuknnya.

Isu yang dilihat semakin menular dalam masyarakat ketika ini perlu dikaji secara mendalam dengan mencari punca yang menyebabkan masalah ini masih berlarutan. Menurut penulis, masalah ini disebabkan naluri remaja itu sendiri yang hanya sekadar ingin berseronok dan pada usia yang muda perkahwinan bukanlah matlamat mereka. Sememangnya, jika kita lihat kehidupan generasi muda pada masa ini mereka hanya mengejar keseronokan duniawi yang mana telah mengheret mereka ke kancah pergaulan bebas tanpa mengira batas-batas agama. Sedangkan Allah s.w.t telah memberi peringatan dalam ayat Al-Quran yang melarang hubungan ini.

Firman Allah s.w.t

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat." (Surah An-Nur 24:31)

Menurut ayat diatas Allah s.w.t telah memberi peringatan bahawa tanggungjawab seorang muslim menjaga pandangannya dengan memelihara deria-deria yang boleh membawa kepada berlakunya perbuatan zina. Islam telah menganjurkan supaya umatnya perlu memelihara maruah dan kehormatan seperti yang telah disyariatkan oleh Islam, tetapi apa yang berlaku pada hari ini umat Islam leka dengan laranganNya. Jika direnung kembali, Allah telah memerintah supaya umatnya menutup aurat mempunyai hikmah yang tersendiri. Sesungguhnya, keimanan dan ketaqwaan seseorang mukmin itu secara istiqamah mampu menjadi benteng pertahanan hati daripada sifat-sifat mazmumah. Selain itu, terdapat juga ayat Al-Quran yang melarang perbuatan keji ini.

Firman Allah s.w.t:

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat”. (Surah Al-Isra’:32)

Menurut ayat diatas walaupun kita hanya mendekati zina, ia sudah pun dianggap haram. Allah telah menurunkan ayat ini supaya jangan mendekati zina apatah lagi melakukan zina. Terdapat dalam kalangan masyarakat di luar sana yang alpa sehingga terjebak dengan perbuatan zina sehingga mengandungkan anak luar nikah. Agak menyedihkan apabila bangsa melayu yang majoriti terlibat dalm kes seperti ini. Apabila tiada pegangan agama inilah akibatnya apabila menghalalkan perbuataan haram dengan melakukan penzinaan.

Isu ini juga berlaku disebabkan akhlak dalam kalangan remaja perempuan dilihat semakin lemah. Rosak umat disebabkan rosaknya wanita kerana mereka tidak memelihara keperibadian mereka. Kurangnya kefahaman mengenai agama menyebabkan mereka terjebak dalam kes ini. Kesedaran memang wujud tetapi tidak menyeluruh dan tidak bersungguh-sungguh untuk benar-benar menjiwai dan menghayati ajaran Islam itu sendiri terutama kepada golongan remaja yang mana masing-masing menjauhkan diri daripada mendalami agama. Penerapan akidah adalah penting agar masyarakat tidak goyah. Akidah ini penting untuk memberikan petunjuk kepada semua secara menyeluruh mengenai keimanan terhadap Allah, para Malaikat, para Nabi, kitab-kitab suci dan juga hari akhirat.

Keruntuhan institusi keluarga Islam juga antara faktor berlakunya masalah pembuangan bayi ini. Gejala sosial yang semakin meruncing ketika ini menunjukkan masyarakat Islam sudah mula tidak mengambil berat mengenai kepentingan institusi kekeluargaan. Umat Islam pada saat ini sibuk dengan pembangunan, mengejar kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab dalam membina satu keluarga yang bahagia terutama dalam urusan menjaga dan mengawal anak-anak. Anak-anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang akan cuba mencari suasana baru dan rakan baru yan akhirnya akan terjebak dengan masalah ini.

Selain itu, masyarakat juga antara faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku. Sesetengah masyarakat memandang sinis terhadap orang yang melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah. Mereka yang terjerumus dalam kancah maksiat ini menganggap diri mereka tidak diterima oleh masyarakat. Oleh sebab itu, mereka terus melakukan maksiat kerana mereka beranggapan apabila mereka ingin bertaubat tetapi masyarakat tetap memandang serong tetap tidak ada gunanya. Disebabkan inilah wujudnya kes pembuangan bayi dalam kalangan orang Islam itu sendiri. Oleh itu, masyarakat umumnya perlu melihat kembali kepada konsep Islam itu sendiri bagi melaksanakan perkara yang sepatutnya kita sebagai umat Islam lakukan.

Penulis telah mengaitkan isu ini ibarat daun gugur dan pokok sakit yang mana memilih jalan yang mudah bagi menyelesaikan perkara ini dengan segera tanpa melihat punca perkara ini berlaku kerana ianya memerlukan penelitian yang cukup, menuntut kesabaran dan kesannya tidak dapat dilihat dengan kadar yang segera. Menurut penulis lagi, cadangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menangani gejala remaja hamil luar nikah dengan memberi kebenaran berkahwin walaupun masih di bangku sekolah hanya menyelesaikan gejala ‘anak luar nikah’ bukannya isu utama krisis sosial yang melanda golongan remaja dan ia akan mencetuskan masalah sosial yang lebih teruk. Hal ini disebabkan, remaja ini masih muda untuk berkahwin, memikul tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri, menjadi pemimpin keluarga yang baik, kekangan kewangan, psikologi dan sebagainya.

Sememangya, kerajaan perlu banteras gejala ini dan bukannya memperbanyakkan pusat perlindungan bagi membela individu yang hamil luar nikah ini. Jika kita lihat dengan lebih mendalam lagi, pada masa sekarang ini angka anak tanpa status di Malaysia semakin meningkat dan sudah semestinya ini amat membimbangkan. Berdasarkan laporan statistik Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) yang dicatatkan sejak tahun 2005 hingga 2009 mendapati, jumlah pendaftaran kelahiran anak tanpa dokumen perkahwinan ibu bapa keseluruhannya berjumlah 74,723 orang yang hanya melibatkan bangsa Melayu Islam.( Sumber; Majalah Al-Islam, Ogos 2010) Perbincangan dan kesepakatan antara pihak kerajaan terutamanya adalah penting agar proses untuk melaksanakan perancangan yang ingin dibuat bagi menangani masalah ini dengan segera berjalan dengan lancar.

Dengan hanya menyediakan tempat untuk bayi-bayi terbuang oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab tidak akan menyelesaikan masalah tersebut sebaliknya lebih banyak usaha perlu dilakukan melalui pendekatan agama dan pengukuhan institusi keluarga. Maka, rasionalisasi cadangan kerajaan Melaka untuk mewujudkan sekolah remaja hamil mungkin berada di luar logik akal dalam budaya masyarakat Melayu. Mewujudkan sekolah remaja hamil mungkin ada risikonya terutama bagi kesan jangka panjang terhadap ibu dan anak-anak tersebut. Walaubagaimanapun, cadangan tersebut perlu juga dipandang dengan minda terbuka supaya golongan ini tidak terus dirundung malang walaupun mereka bersalah melanggar hukum islam kerana melakukan hubungan seks luar nikah.

Kesan pembuangan bayi ini boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga yang terlibat, masyarakat dan juga kepada negara. Kesan kepada bayi ialah mereka tidak akan megenali ibu bapa kandung dan terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa. Hal ini kerana, bagi pasangan kekasih yang telah terlanjur mereka sebenarnya belum bersedia untuk memikul tanggungjawab bagi menjaga anak yang lahir daripada perbuatan sumbang mereka. Perkara yang mereka fikirkan hanyalah keseronokan. Bagi ibu yang melahirkan bayi tersebut sudah semestinya akan mengalami gangguan dari segi psikologi seperti kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah dan mengalami masalah emosi.

Selain itu, institusi kekeluargaan juga akan menjadi lemah. Ibu bapa akan berasa malu dengan perbuatan anak mereka dan akhirnya seluruh anggota keluarga akan menyisihkan mereka. Ini akan menyebabkan keluarga tersebut malu untuk berhadapan dengan orang di sekeliling mereka. Hal ini mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu bapa masing-masing menuding jari menyalahkan antara satu sama lain kerana tidak pandai menjaga anak. Negara juga turut mendapat impak yang sangat besar mengenai masalah ini. Jatuh dan bangun sesebuah negara dan masyarakat itu bergantung kepada akhlak remaja sebagai generasi yang akan membangunkan negara. Kemajuan dan perkembangan ekonomi negara akan terbantut dengan menularnya gejala sosial ini. Perbelanjaan kerajaan juga turut meningkat untuk menampung bayi yang akan di tempatkan di rumah-rumah kebajikan masyarakat.

Islam dan agama utama yang lain di Malaysia sangat mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi dalam kalangan masyarakat. Ia merupakan satu dosa yang sangat besar kerana membunuh dengan niat. Melihat kembali sejarah pada zaman Rasulullah s.a.w mengenai isu ini iaitu pada zaman tersebut terdapat seorang perempuan yang dijatuhkan hukuman zina tetapi wanita tersebut mengandung. Maka, Rasulullah s.a.w menangguh hukuman tersebut sehingga wanita tersebut melahirkan anaknya. Di sini kita dapat lihat bahawa hukum gugur anak adalah haram walaupun wanita itu mengandungkan anak luar nikah. Sudah semestinya hukum yang terkandung dalam Al-Quran adalah berdosa besar dan akan dilaknat oleh Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t

“Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar”(Surah An-Nisa:93)

Untuk mengurangkan permasalahan ini, masyarakat perlu di didik dengan akhlak Islam, memperbanyakkan lagi ajaran mengenai Islam agar masyarakat memahami konsep Islam itu sendiri untuk menjadi mukmim sejati. Institusi keluarga perlu di perkukuhkan dengan berlandaskan konsep rumahku syurgaku. Ibu bapa berperanan mengawal anak-anak daripada terlibat dengan pergaulan bebas. Penerapan agama itu sebaiknya bermula daripada rumah yang di ajar oleh ibu bapa mereka sendiri. Melalui didikan dan perhatian daripada ibu bapa, barulah anak dapat merasai penerapan nilai-nilai Islam yang begitu mendalam kerana ia disemai dengan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa.

Bagi saya, sikap menjaga tepi kain orang adalah konsep yang boleh diterima pakai dalam permasalahan ini agar masyarakat sekeliling lebih peka terhadap perkara yang berlaku dalam komuniti masing-masing. Rasa peduli penting untuk mendidik jiwa melahirkan nilai-nilai murni serta dapat merenung hikmah dan pengajaran di sebalik sesuatu kejadian. Program-program dakwah juga perlu di pertingkatkan dan di gerakkan secara bersepadu agar rohani sentiasa di isi dengan nilai agama untuk dijadikan sebagai perisai diri. Bagi mereka yang sudah terlanjur, segeralah bertaubat dan menjauhi segala laranganNya. Allah sentiasa memberi ruang untuk hamba-hambaNya bertaubat.

Firman Allah s.w.t:

Dan sesungguhnya Aku amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya”.( Surah Taha:82)

Dalam isu ini, anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai dan menjadi satu amanah dan tanggungjawab untuk menjaganya. Oleh itu, pilihlah pendekatan Islam secara Syumul, bukan hanya memilih Islam pada perkara yang disukai, tetapi kita tinggalkan sebahagian yang lain yang tidak sesuai dengan kehendak kita. Kembalilah ke jalan yang lurus, tinggalkanlah perkara-perkara maksiat yang telah kita lakukan sebelum ini. Bertaubatlah sementara kita masih ada kesedaran, jangan tunggu sampai kita dibiarkan sesat oleh Allah s.w.t sehingga hati kita tertutup untuk menerima kebenaran.